12 May 2009

Ibrahim bangga kerjaya tentera diteruskan 3 generasi

DULU ayahnya, Nasron Awang merupakan seorang wira negara. Dengan nombor pengenalan tentera 1439, ayahnya berkhidmat dengan Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

Sebagai anggota infantri, setiap pelosok negara sudah dijelajahi Nasron termasuk berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo pada tahun 1960.

Menjadi anggota infantri juga membuatkan ayahnya sudah biasa dengan medan peperangan.

Hutan belantara menjadi rumah keduanya demi menghapuskan pengganas komunis yang cuba mencabul kedaulatan negara.

Ketangkasan ayahnya di medan perang menjadi bukti keperwiraan orang Melayu sehingga dianugerahkan Military Medal yang sama taraf dengan Pingat Gagah Berani (PGB) sekarang kerana keberanian luar biasa yang ditunjukkan.

Pada tahun 1961, ayahnya bersara dengan jawatan terakhir sebagai RSM 4 RAMD berpangkat Pegawai Waran 1.

Kini ayahnya sudah tiada untuk menceritakan semula pahit-manis menjadi tentera kerana menyahut seruan Ilahi pada tahun 1986.

Namun, darah satria itu tetap mengalir dalam tubuh Leftenan Kolonel Ibrahim Nasron.

Ibrahim, 53, mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang pegawai tentera.

Apa yang berbeza, beliau menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala ayahnya bersama Tentera Darat Malaysia.

Bagaimanapun, tanggungjawab mereka tetap sama, iaitu mempertahankan negara daripada dicerobohi musuh durjana.

“Saya tidak kesal menjadi seorang tentera, memang saya minat termasuklah arwah abang.

“Arwah abang saya merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pangkat terakhir Pegawai Waran 1,” jelas beliau ketika ditemui di kediamannya di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Kerjaya anak kelahiran Baling, Kedah ini dalam tentera bermula pada tahun 1973.

Sebaik menamatkan peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE), beliau menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau kemudiannya melanjutkan latihan di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM dalam Cawang Juruterbang pada 25 April 1974.

Sepanjang kerjaya, Ibrahim pernah ditugaskan di beberapa unit dan pangkalan di seluruh negara.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Staf 2 Tadbir dan Pegawai Staf 1 Sekretariat di Cawangan Tenaga Kerja, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Komandan Pusat Latihan Pengaman Malaysia, Port Dickson.

Peringkat antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, Ibrahim pernah menjadi pegawai pemerhati tentera PBB di Sahara Barat pada tahun 1999.

Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Antarabangsa Pusat Latihan Pengaman (IAPTC) dari tahun 2003 hingga 2004.

Beliau turut memegang jawatan Penasihat merangkap Jurulatih Kanan di Pusat Peperangan, Pasukan Pertahanan Australia di New South Wales.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pegawai Memerintah Pusat Latihan Pengurusan dan Pentadbiran (PLPP) yang terletak di Pangkalan Udara Subang.

Dunia ketenteraan juga menemukan jodoh beliau dengan Azizah Abdul Manan, 47.

Ketika itu isterinya menjadi kakitangan awam di Markas 9 Briged yang berpejabat di Bangunan PKNS, Shah Alam, Selangor.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki.

Anak sulungnya, Abdul Azim, 21, kini mengikut jejak langkah bapa dan datuk dengan menyertai tentera.

Lebih membanggakan Ibrahim, anaknya itu merupakan Penuntut Terbaik Akademik, Institut Latihan Tentera Udara (ITU), Ipoh, Perak pada tahun lalu.

Abdul Azim kini bertugas di No. 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuala Lumpur sejak 24 Mac lalu.

“Memang saya bangga kerana ayah dulu terlibat dalam peperangan membanteras pengganas komunis.

“Lebih membanggakan, anak saya pula turut serta dalam dunia tentera.

“Saya memang galakkan anak-anak saya masuk tentera,” kata beliau ketika ditanya mengenai perasaannya apabila Abdul Azim menyertai TUDM.

Ini kerana jelasnya, organisasi tentera menitikberatkan disiplin di pelbagai peringkat yang menjadi kunci kejayaan dalam kehidupan seharian.

Ibrahim kini bercuti sejak 30 April lalu sebelum bersara sepenuhnya dari TUDM pada 29 Oktober ini.



IBRAHIM (dua dari kiri) bersama isteri, Abdul Azim (dua dari kanan) dan anak keduanya selepas perbarisan tamat latihan perajurit muda ITU, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...